Friday, September 26, 2008

PERUTUSAN AIDIL FITRI

Ramadhan makin beransur meninggalkan kita, Aidil Fitri bakal menjelma… Selama sebulan kita didik dalam madrasah Ramadhan. Tarbiyyah Allah ini bertujuan untuk mencapai darjat ketakwaan sebagaiman firman Allah

Wahai orang yang beriman telah diwajibkan kepada kamu puasa sebagaiman orang-orang byang terdahulu, mudah mudahan kamu akan menjadi manusia bertakwa. (Al Baqarah 183)

Dalam kita sibuk membuat persiapan menyambut Aidil Fitri jangan lupa, hidupkan malam-malam terakhir ini dengan iktikaf, munajat, tadarus dan segala amal baik yang lain

Jihad menentang Kezaliman

Dalam kita merayakan Aidil Fitri, disana masih ramai saudara kita yang ditahan di bawah ISA. Anak dan isteri mereka terus berduka. Sebahagiannya sudah 7 tahun berjerijikan besi dan terlebih pilu anak isteri mereka terus bertarung dengan kesan kezaliman ini. Mereka merasai kesusahan tanpa ayah dan suami disisi. ISA meragut kasih sayang antara mereka.

Allah menjadikan perang Badar dalam bulan Ramadhan. Semuanya bertujuan untuk mengingatkan kita golongan yang dizalimi perlu dibela dan pelaku zalim mesti direntap dari kuasa. Nabi keluar ke medan Badar untuk menentang golongan yang zalim. Firman Allah

Telah diizinkan berperang, kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi. Iaitu orang orang diusir dari kampung halaman mereka tanpa apa-apa alasan semata-mata mereka berkata tuhan kami adalah Allah. Sesungguhnya Allah berkuasa menolong hambanya. (Al Hajj: 39)

Marilah kita mengambil semangat Badar ini, untuk terus istiqamah menentang kezaliman.

Dikesempatan ini saya susun 10 jari memohon maaf kepada semua atas kesilapan dan kelemahan ini. Maaf juga kepada sahabat-sahabat yang hampa kerana saya gagal menunaikan permintaan untuk bertazkirah di tempat mereka. Apakan daya Ramadhan hanya sebulan. Jadual Tazkirah ini telah penuh 2 minggu sebelum Ramadhan... Cuba lagi di tahun depan...

Salam Aidil Fitri.. Maaf zahir dan batin...


Suhaimi Md Saad
Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS
Negeri Pahang